KETUA Operasi PADKP, Abdul Rahim Abu (kiri) menyoal pasangan yang
dicekup berkhalwat di sebuah motel di pekan Jitra, awal pagi semalam. -
Foto ihsan PADKP
JITRA: Seorang pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan teman
lelakinya sanggup menyewa dua bilik yang berbeza ketika mendaftar masuk
sebuah motel di pekan ini, sebagai helah untuk mereka berdua-duaan dalam
sebuah bilik di situ.
Namun, helah pasangan berusia 19 tahun itu terbongkar apabila bilik yang
digunakan mereka untuk berasmara diserbu sepasukan penguat kuasa
Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu, awal pagi semalam.
Ketika serbuan jam 1 pagi itu, remaja lelaki terbabit memberikan alasan
kononnya terpaksa menyewa bilik motel berkenaan kerana pasangannya tidak
sempat masuk ke asrama disebabkan pintu masuk IPTA sudah ditutup.
Pemuda dari Sungai Petani itu mendakwa tidak melakukan apa-apa dengan
pasangannya, sebaliknya hanya duduk berdua sementara menunggu waktu
bersahur, namun keadaannya yang hanya memakai tuala ketika diserbu
menimbulkan syak anggota penguat kuasa.
Pegawai Agama Daerah Kubang Pasu, Syeikh Radzi Abdul Mutalib, berkata
ketika diserbu, pelajar wanita terbabit berpakaian lengkap.
"Sebaik pintu bilik yang diketuk dibuka, seorang pemuda kelihatan
terkejut mendapati kehadiran pihak berkuasa, namun membenarkan anggota
bertugas masuk ke dalam bilik untuk membuat pemeriksaan.
"Kami menemui seorang gadis dalam ketakutan dan ketika ditanya mengenai
hubungan mereka, masing-masing gagal menunjukkan sebarang bukti status
mereka sebagai pasangan suami isteri atau mahram yang sah.
"Hasil maklumat, kami dapati mereka mulanya menyewa dua bilik berasingan
kira-kira jam 10 malam dipercayai sebagai taktik mengaburi pihak
berkuasa, sebelum pemuda itu menyelinap ke bilik pasangannya," katanya.
Radzi berkata, pasangan itu dipercayai sudah lama berkenalan kerana
masing-masing berasal dari Sungai Petani tetapi mereka kerap bertemu di
sini, sejak pelajar perempuan itu melanjutkan pelajaran ke IPTA.
"Kedua-duanya dibawa ke Balai Polis Jitra untuk laporan tangkapan sebelum dibawa ke pejabat agama daerah diambil keterangan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah
2014 dan jika sabit kesalahan kedua-dua mereka boleh didenda sehingga
RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya," katanya.
No comments:
Post a Comment