Wednesday, 1 June 2016

'Servis ICU Hospital Kuala Lumpur Macam Gampang' - Azwan Ali

Saya dikirimkan screenshot ini oleh salah seorang sahabat saya. Beliau memohon saya memberi pencerahan berkenaan kenyataan saudara Azwan Ali. 
Saya tidak tahu apa yang menyebabkan Azwan Ali begitu marah sehingga mengeluarkan kata-kata sedemikian. Mungkin ada sesuatu yang berlaku. Namun saya ingin menjelaskan beberapa perkara agar beliau dan masyarakat tidak salah faham. 
Pertama sekali adalah berkenaan availability antivenom. Sememangnya antivenom cuma boleh diperolehi di hospital kerajaan sahaja. Tiga buah hospital swasta terkenal di Kuala Lumpur yang saya hubungi iaitu Prince Court Hospital, Gelanagles dan KPJ tidak menyimpan stok antivenom. Kesemua mereka apabila diajukan soalan tentang ini, telah menjawab mereka akan merujuk kes gigitan ular ke Hospital Kuala Lumpur atau mana-mana hospital kerajaan yang berdekatan. 
Demikian juga hospital swasta di negeri-negeri lain. Mereka akan merujuk kes gigitan ular ke hospital yang mempunyai Pakar Kecemasan bagi tujuan rawatan lanjut. Jadi, sungguhpun anda memegang kad insurans yang mahal dan hebat-hebat, jika anda dipatuk ular berbisa dan memerlukan antivenom, anda akan dirujuk ke hospital kerajaan yang anda tidak gemari ini juga. 
Ini boleh difahami sebenarnya kerana antivenom adalah amat mahal harganya, menjangkau ribuan ringgit. Sea snake antivenom misalnya, berharga RM13,500 sebotol. Jadi, tiada kos efektir bagi hospital swasta untuk membeli ubat semahal ini yang amat jarang kes seumpamanya. Mereka menjalankan perniagaaan dan tanpa perlu memikirkan pulangan yang berbaloi dengan modal.
Namun, kerajaan Malaysia memikirkan tentang kebajikan rakyatnya. Ke mana lagi mereka boleh pergi untuk rawatan bagi kes-kes seperti ini. Stok=stok antivenom dibeli oleh Kerajaan Malaysia dan dibekalkan di hospital-hospital yang mempunyai kepakaran untuk menguruskan sakit berkenaan. 
Semua harus faham bahawa tidak semua kes gigitan ular memerlukan rawatan antivenom. HAnya 18 dari 40 spesis ular darat di malaysia adalah berbisa. Malah, sekalipun kita digigit oleh spesis ular berbisa, tidak semestinya kita memerlukan antivenom kerana majoriti gigitan ular adalah dry bites (patuk dan lari tanpa dos lethal bisa ular masuk ke badan). 
Jika setiap klinik hendak dibekalkan stok antivenom, ini sudah tentulah merupakan satu ketirisan kerana ada kawasan-kawasan tertentu yang mungkin hanya mempunyai kes gigitan ular 5 tahun sekali. takkan nak biarkan antivenom yang mahal seperti itu terperam macam perkasam sehingga tamat tempoh? Oleh itu, kami ada mekanisme pengagihan antivenom berdasarkan keperluan yang sudah dikaji dan diteliti. 
Keduanya, sekiranya perlu diberikan antivenom, ia mestilah keputusan yang dilakukan oleh doktor pakar kecemasan setelah menilai keadaan pesakit. Antivenom perlu diberi di bawah monitoring yang rapi. Ia hanya dilakukan di zon merah Jabatan Kecemasan. Klinik-klinik kerajaan tiada fasiliti ini dan bukan merupakan tempat yang sesuai untuk memberi rawatan antivenom. 
Pelbagai perkara yang boleh berlaku seperti kemerosotan keadaan pesakit yang memerlukan intervention segera seperti intubation dan bantuan pernafasan. Disebabkan inilah, rawatan antivenom hanya boleh diberi di fasiliti yang mempunyai kelengkapan merawat pesakit kritikal iaitu di zon kritikal Jabatan Kecemasan. 
Saya kurang faham mengapa ICU HKL dikaitkan dengan perkara ini. Tidak semua kes gigitan ular yang memerlukan antivenom  perlu dirawat di ICU. Majoriti dirawat di Jabatan Kecemasan dan wad biasa sahaja, melainkan mereka memerlukan bantuan pernafasan. Jadi mengapa ICU HKL pula menjadi mangsa dan dimarahi? Ini adalah tidak adil untuk mereka. 
ICU HKL adalah merupakan ICU terbesar dan terbaik di negara kita. Tiada hospital swasta atau hospital kerajaan lain yang berani mendabik dada mereka lebih hebat dari ICU HKL. Para pakar-pakar seluruh negara termasuk di swasta amat menghormati HKL kerana para sifu, otai, mahaguru segala disiplin bermastautin di sana. 
Kehebatan HKL ini diiktiraf hatta ketika lawatan Presiden Obama. Pasukan perubatan Presiden Obama telah melakukan tinjauan berkali-kali selama berbulan-bulan sebelum lawatan Presiden Obama. Mereka mencari hospital terbaik yang boleh merawat Presiden mereka jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini. Segala aspek ditinjau terutamanya aspek kepakaran, availability multidisiplin, fasiliti dan kelengkapan sebagainya. Tinjauan turut dilakukan di hospital-hospital swasta yang berdekatan. Akhirnya mereka memilih HKL sebagai hospital yang akan merawat Presiden Obama. Keputusan mencerminkan kualiti dan standard HKL. 
Jadi amat lucu dan tidak patut bagi staf dan doktor-doktor ICU HKL dimarahi sehingga hendak diludah seperti ini. HKL adalah centre of excellence dengan pelbagai pencapaian antarabangsa. Terbaru, HKL telah memenangi anugerah bertaraf dunia Best Hospital Brand Award 2016 mengalahkan semua hospital lain termasuk hospital swasta bagi kategori Healthcare yang dipilih oleh Global Brands Magazine UK! 
Perkhidmatan kesihatan kita juga dinilai sebagai nombor tiga terbaik di dunia oleh tinjauan International Living di Amerika Syarikat. Kita hanya di belakang Perancis dan Uruguay sahaja. 
Saya hairan dengan mentaliti rakyat kita dewasa ini. Baru beberapa hari lepas doktor HKL dimaki sebagai babi, kali ini pula. 
Ludah dan makilah HKL dan petugasnya wahai rakyat di kala dunia mengiktirafkan HKL dan perkhidmatan kesihatan Malaysia sebagai antara yang terbaik di dunia. - Doktor Abdul Rahman Abdul Kadir | PIXEL MEDIA

No comments:

Post a Comment