Friday 1 April 2016

Kelantan negeri pertama memberi cuti ihdad yang bergaji penuh selama sebulan

KOTA BHARU:Kelantan negeri pertama memberi cuti ihdad yang bergaji penuh selama sebulan bagi kakitangan wanita yang berkematian suami.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Mumtaz Md Nawi berkata sebelum ini cuti ihdad diberi hanya selama tiga hari.
“Bagaimana sekarang kerajaan Kelantan menambah cuti bergaji penuh kepada 27 hari lagi menjadikan jumlah keseluruhannya 30 hari.
“Dan kita berharap kalau mendapat royalti petroleum nanti kita boleh memberi cuti ihdad selama empat bulan 10 hari sebagaimana peraturan dalam Islam,” katanya di sini.
Kelantan juga negeri pertama yang menambah cuti bersalin daripada 40 hari kepada 60 hari pada awal 1990-an. Dan sekarang cuti bersalin dilaksanakan sehingga 90 hari.
Negeri ini juga sudah lama melaksanakan cuti seminggu kakitangan lelaki yang mendapat anak bagi membolehkan mereka membantu isteri dan mengurus keluarga.
Mumtaz berkata, sudah ada kakitangan kerajaan negeri yang diberi cuti ihdad selama sebulan dengan bergaji penuh berikutan kematian suaminya.
Kata beliau juga, cuti ihdad sebagaimana dituntut Islam selama empat bulan 10 hari tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana ia menjejaskan pencen penjawat awam terbabit.
sumber: HARAKAHDAILY

No comments:

Post a Comment