Siapa sangka, seorang isteri berperawakan lemah lembut,
bertudung labuh dan kuat pegangan agama rupa-rupanya bertuankan nafsu
apabila sanggup menjalin hubungan sulit dengan suami orang.
Padahnya, dia dicekup suami dalam keadaan hanya memakai
baju tidur tanpa coli manakala pasangannya tidak berbaju, sekali gus
membawa kepada runtuhnya rumah tangga yang dibina selama 10 tahun.
“Nyata doa saya ketika di Makkah supaya Allah SWT
menunjukkan kebenaran di dalam rumah tangga saya termakbul. Saya bukan
mahu memalukan bekas isteri, tapi ingin berkongsi pengalaman supaya
menjadi iktibar kepada orang lain,” kata Azman, 30-an.
Ikuti pengakuan Azman sepenuhnya:
“Terus terang saya katakan, sepanjang hidup bersamanya,
tidak sedikitpun saya meragui kesetiaannya. Saya yakin dia setia kepada
saya memandangkan perkahwinan kami atas dasar suka sama suka.
Ketika bersusah payah membangunkan perniagaan, dia
menjadi inspirasi dan semangat untuk saya. Tanpa dia, mungkin saya tidak
mampu mengharungi pahit getir dalam dunia perniagaan.
Lebih daripada itu, saya yakin, perawakannya yang lemah
lembut, bertudung labuh dan latar belakangnya yang kuat pegangan agama
tidak mungkin membuatkan dia sanggup melakukan perbuatan yang menyalahi
hukum agama.
Dia melayan saya dengan sepenuh tanggungjawabnya sebagai isteri. Apa saja permintaan saya dia akan penuhi.
Kami bertambah bahagia apabila dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia sembilan tahun.
Namun, ketika perniagaan saya berkembang dan kami
sekeluarga mengecap kesenangan, ada rakan memberitahu pernah melihat
isteri saya bersama lelaki lain dalam keadaan mencurigakan.
Ketika itu memang saya tidak percaya langsung dan akibatnya saya bertumbuk dengan rakan yang menyampaikan maklumat itu.
Begitupun, cerita mengenai kecurangan isteri saya tidak pernah tamat kerana ada saja rakan menyampaikannya kepada saya.
Antara yang paling menyakitkan hati ialah ada yang
memberitahu, isteri saya membuat pengakuan bahawa dia sudah berpisah
dengan saya.
Dalam keadaan sedemikian, saya masih bersabar dan
membuang perasaan curiga terhadap isteri. Saya tetap melayannya dengan
baik dan pada masa sama dia juga begitu.
Pada Ramadan tahun lalu, saya ke Makkah mengerjakan
umrah dan di depan Kaabah saya berdoa supaya Allah SWT terus merapatkan
hubungan saya dan isteri. Pada masa sama saya juga memohon kepada Allah
supaya menunjukkan kebenaran jika ada kekurangan dalam rumah tangga
saya.
Pulang dari Makkah, saya menghadiahkan isteri gelang
kayu Kokka. Tidak lama selepas itu rakan memberitahu, lelaki yang
dikatakan menjalin hubungan sulit dengan isteri saya ada memakai gelang
sama.
Apa disampaikan rakan saya memang benar kerana tanpa
pengetahuan saya, isteri saya menghadiahkan gelang berkenaan kepada
lelaki itu.
Saya memang sakit hati tetapi kerana perasaan sayang masih menebal, saya buat tak tahu saja.
Bagaimanapun, pada satu malam doa saya dimakbulkan Allah apabila saya bagaikan diberi petunjuk mengenai kecurangan isteri.
Entah bagaimana, ketika itu tidak semena-mena kereta
yang biasa saya gunakan rosak secara tiba-tiba dan saya pulang ke rumah
menggunakan kereta lain.
Tidak seperti kebiasaan, saya pulang awal sedikit.
Ketika sampai di rumah, saya melihat kelibat seorang lelaki keluar dari
pintu belakang dan menguncinya.
Berderau darah saya ketika itu dan dengan menggunakan segala kudrat yang ada, saya mengejar dan berjaya menangkapnya.
Ternyata, dia adalah lelaki seperti digambarkan rakan
saya. Dalam keadaan tidak berbaju, saya mengheretnya ke dalam rumah dan
ketika itu isteri saya dalam keadaan kusut, memakai baju tidur tanpa
coli. Saya periksa bilik dan mendapati katil ‘bersepah’.
Tanpa sedar, air mata saya mengalir dan benarlah apa
yang diberitahu rakan selama ini. Sudah jelas, isteri saya curang. Jika
bersama lelaki lain di dalam rumah dalam keadaan mencurigakan, apa lagi
yang mereka lakukan jika tidak membuat maksiat?
Namun, seperti orang tidak bersalah, kedua-duanya
berbuat muka selamba. Isteri memberi alasan lelaki itu datang ke rumah
kerana mahu membetulkan paip.
Apabila diperiksa, ternyata isteri saya berbohong
apabila paip rumah saya tidak rosak dan lelaki itu tidak pula membawa
peralatan membaiki paip.
Seperkara lagi, lelaki itu masuk ke rumah secara bersembunyi berikutan keretanya diletakkan jauh dari pekarangan rumah.
Bengang dengan reaksi mereka, saya bawa mereka ke balai
polis dan membuat laporan. Sedikitpun mereka tidak menunjukkan perasaan
takut. Kesudahannya mereka dilepaskan selepas dijamin keluarga
masing-masing.
Sejak itu, kami duduk berasingan hinggalah kami bercerai baru-baru ini. Saya mendapat hak penjagaan anak.
Apabila difikirkan kembali, apa salah saya sehingga dia
sanggup berbuat begitu. Hendak apa saja saya berikan. Malah satu ketika
dia pernah berkata kepada anggota keluarga saya, dia tidak tahu hendak
membeli apa lagi kerana semua benda boleh dimilikinya.
Keluarga saya memang kecewa, apatah lagi ibu saya. Dia
adalah menantu kesayangannya, tetapi apa yang berlaku benar-benar
mengejutkannya.
Keluarga bekas isteri pula meletakkan kesalahan di atas bahu saya. Mereka menyifatkan saya terlalu cemburu.
Saya hairan, adakah perbuatan bekas isteri saya
melakukan maksiat bersama lelaki lain dan saya sendiri yang menangkap
mereka perlu dimaafkan?
No comments:
Post a Comment