PETALING
JAYA: Pelakon Kamal Adli memberitahu rezekinya lebih murah sejak
menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon Emma Maembong.
Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 29, berkata, biarpun
dikecam kerana terkait kontroversi perpisahan aktres tersebut dengan
pelawak Zizan Razak, namun dia mengakui menerima hikmah lain.
"Sejak berkawan dengan Emma Maembong memang nama saya dihimpit
kontroversi satu persatu, selain dikecam teruk di laman sosial dan
digugurkan produksi dari sebuah filem.
"Walaupun agak tertekan dengan perkara itu, ada hikmah lain yang saya
nampak iaitu rezeki saya tidak putus-putus. Saya akui banyak tawaran
yang saya terima antaranya jadi duta produk minuman Escola," ujarnya
kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Kamal berkata, drama lakonanya dengan Emma Jodoh Sebelah
Pintu yang ditayangkan pada Julai lalu di HyppTV juga mendapat sambutan
tinggi.
Katanya, biarpun masih ramai yang tidak menyukai mereka sebagai pasangan
kekasih, namun masih mahu menyokong lakonan mereka di televisyen.
"Saya sedar masih ramai yang tidak suka hubungan kami sebab itu juga
saya kurang muat naik foto di laman sosial. Tapi disebabkan perkara itu
juga mungkin membuatkan drama kami mendapat rating tinggi di HyppTV.
"Mereka tidak suka tetapi mahu juga menonton lakonan kami," ujarnya.
Sementara itu, ditanya tentang sejauh mana perkembangan hubungannya
dengan Emma, Kamal berkata, mereka belum ada perancangan untuk ke
peringkat seterusnya.
"Saya memang ingin berkahwin kerana umur pun sudah 29 tahun, tapi biarlah saya rasa betul-betul stabil dahulu.
"Buat masa ini belum ada perancangan apa-apa, Insya-Allah kalau ada jodoh tidak kemana," ujarnya.
No comments:
Post a Comment