Saya teringat kepada Osman (bukan nama sebenar) tatkala menatap tajuk
satu rencana dalam surat khabar kelmarin, Curang Punca Sakit Jantung.
Sebabnya, dia pernah mengadu, sejak kantoi kes hubungan gelap, gerak
gerinya tidak lagi bebas.
"Aku bagi makan ikan akuarium di luar rumah pun disoal macam suspek
pecah rumah. Kononnya aku berlakon supaya boleh keluar untuk contact
girlfriend. Cuci kereta, gosok lama sikit di bahagian bontot dan isteri
aku tak nampak, cepat saja dia melaung, buat apa tuuuuuu????
"Boleh sakit jantung aku macam ni," katanya. Itu cerita Osman. Namun
apabila rencana itu saya baca habis, saya dapati ceritanya lain. Osman
belum tidak sampai ke tahap itu.
Menurut rencana yang mengulas laporan Journal of Sexual Medicine itu,
kajian Universiti Florence, Itali mendapati kecurangan lelaki yang sudah
berkahwin boleh meningkatkan risiko serangan jantung.
Sudah banyak kes dilaporkan, ramai lelaki meninggal dunia ketika melakukan hubungan seks dengan teman wanita mereka.
Dan tidak ada pula laporan mereka yang temui ajal ketika bertukar-tukar
cenderamata dengan isteri. Sebabnya apa? Satu kajian di Jerman
menyatakan, lelaki yang menghadapi masalah kardiak (berkaitan jantung)
berhadapan risiko tinggi serangan apabila melakukan hubungan seks dalam
keadaan tidak tenang.
Banyak keadaan untuk dikaitkan sebagai punca mengapa mereka tidak
tenang. Antaranya ialah 'kerja keras' yang terpaksa dilakukan untuk
memuaskan pasangan. Oleh kerana kajian itu berkait dengan lelaki yang
berkahwin, yang agak berusia dan pasangan pula mungkin jauh lebih muda,
maka kerja keras itu perlulah dilipat ganda. Ini tentunya akan
meningkatkan juga degupan jantung secara drastik.
Keadaan tidak sama dengan situasi mereka melakukan hubungan dengan
isteri yang sebaya. Tuntutan dan kehendak pasti berbeza antara yang
berusia dengan yang lebih muda.
Kerja keras yang dipaksa dan tidak sepadan dengan kemampuan fizikal
boleh menyebabkan arteri tersumbat, dan berisiko untuk pecah. Mengikut
rekod perubatan, gejala arteri tersumbat adalah satu pertiga daripada
punca kematian.
Kerana itu berwaspadalah. Bukan tidak boleh cari pucuk muda tetapi
biarlah kemampuan sepadan dengan kehendak. Jangan kail panjang sejengkal
dibawa ke lautan dalam.
Jangan depa sepemeluk nangka mahu diukur perdu durian. Usia yang di luar
dan yang di dalam jangan sekata. Biarlah zahirnya sahaja 70, tetapi
yang batinnya 20. Penjagaan yang kesihatan sempurna, ilmu yang mantap,
sebutlah Tajul Muluk atau Kama Sutra, semua petua ada dalam kepala. Itu
akan menjadikan seseorang itu pria terhebat, biar pun usia sudah senja.
Saya pernah diberitahu seorang kawan di pejabat kadi mengenai kes wanita
21 tahun minta cerai daripada suaminya yang berumur 71 tahun. Bukan
sebab suaminya tidak kuat tetapi terlebih kuat. Setiap hari paksa
bertukar cenderamata sampai berkali-kali. Apa pun, jangan buat secara
gelap. Hubungan halalan toiyyiban membawa ketenangan lahir dan batin.
Di negara kita, zina tidak sebebas negara Barat, tekanan yang dihadapi
tentu lebih tinggi. Mereka yang terlibat melakukannya dalam keadaan
tidak tenang kerana takutkan pencegah maksiat. Berbalik kepada Osman,
saya percaya dia tidak terlibat hingga ke tahap itu.
Dia tertekan kerana gerak-gerinya tidak sebebas dahulu. CCTV isterinya
ada di mana-mana, di akuarium dan di bontot kereta. Osman suami yang
baik.
Cuma dia terlanjur pernah ada cinta kedua. Itu pun katanya, sebab tak
sampai hati hendak ditolak, tak tergamak hampakan hajat orang.
Itu kata dialah!
Suami orang yang ada kekasih gelap memang selalu tertekan. Mana
tidaknya, dengan telefon tidak berenggang siang malam. Tercicir telefon
di mana-mana, seperti hilang duit berjuta. Bukan nilai atau harga
telefon itu yang jadi punca. Yang dibimbangkan kalau-kalau ada
panggilan, atau SMS yang masuk ketika telefon bukan di tangan. Bayangkan
kalau siang malam, 24 jam hati tidak tenang, yang sihat pun boleh
pitam. Namun jika diadu kepada sesiapa bukan simpati yang diperoleh,
bukan belas kasihan yang diberi sebaliknya perli dan umpat keji.
Itulah... Tak ada penyakit cari penyakit. Dah tahu bini garang macam
singa, ada hati nak main betina. Sekarang, sendiri tanggunglah bro,
hehehe..." Bertambah pula sakit hati, lagilah cepat mati! Kerana itu,
lelaki curang masih perlu dihormati. Kajian itu membuktikan mereka
adalah pencinta sejati. Jika tidak, masakan mereka sanggup mengorbankan
nyawa demi cinta. - Sinar Harian
No comments:
Post a Comment