"Selamat Tinggal Lembaga Tabung Haji"
Saya tidak suka memberikan komen mengenai politik. Saya lebih gemar
menjadi pemerhati yang senyap sahaja. Walaupun dalam Facebook atau dalam
group WhatsApp yang saya sertai, saya memang jarang muncul dan tidak
pandai nak bersembang kosong. Apatah lagi nak berdebat atau nak mengadu
tentang hal-hal politik.
Saya lebih gemar menggunakan hak saya sebagai pengundi dan memangkah
pemimpin yang saya pilih. InshaAllah, kalau boleh yang berteraskan
khalifah Islam. Tetapi pilihan raya umum lambat lagi. Dan dari hari ke
hari, hati saya semakin mendidih di dalam.
Apa sudah jadi pada Malaysia ku? Apa sudah jadi pada negara Islam ku?
Sedih, sedih dan sedih. Kemelut terbaru Lembaga Tabung Haji (LTH) telah
menghancurkan hati dan kepercayaan saya. Saya tahu, inshaAllah wang saya
tidak ke mana dan tetap di situ. Malah yang pastinya dividen pun tetap
akan ada walaupun mungkin tidak sebanyak dulu lagi.
Tetapi saya tidak mahukan dividen yang tinggi, kalau sepatutnya itu
bukan hak saya. Jika mengambilkira perkara yang sepatutnya dilakukan
LTH.
Saya melihat, semua rakyat jelata marah, kutuk, mengadu, menyindir,
mencerca dan sebagainya. Tetapi situasi zaman kebelakangan ini jelas
menunjukkan bahawa marah dan suara rakyat sudah tiada maknanya dan tidak
boleh mengubah apa-apa pun.
Lalu saya berfikir, apa yang saya boleh buat untuk menyatakan suara
saya? Tidak bersetuju tentang apa yang berlaku pada LTH dan
kepimpinannya, mengikut cara saya. Kalau hanya setakat bising di media
sosial, orang-orang seperti saya ini boleh ke memberikan impak? Apa yang
pasti, ia bagaikan menyalak bukit sahaja.
Maka hari ini saya memutuskan untuk menggunakan hak saya dengan
melakukan perkara mudah di hujung jari sahaja. Dan saya baru saja balik
dari Tabung Haji. Saya telah memindahkan semua wang simpanan dalam
akaun Tabung Haji saya ke akaun bank Islamic dan bank-bank yang lain.
Namun saya tinggalkan RM1,500 kerana kakitangan kaunter Tabung Haji kata
itu adalah kadar minimum untuk akaun terus kekal aktif. Saya akan
pindahkan semula kesemua wang saya ke akaun Tabung Haji jika kemelutnya
telah diselesaikan. Lagipun saya telah pergi mengerjakan Haji, jadi
keperluan saya pada LTH sudah tidak banyak rasanya.
Saya menabung di situ pun kerana saya merasakan LTH paling syariah
compliance dan juga mahu menyokong institusi berteraskan Islam. Tetapi
sekarang, saya pun sudah tidak beberapa percayakan kepimpinan Tabung
Haji. Saya terpaksa membuat keputusan yang lain pula.
Saya mahu melihat, jika LTH dapat mengembalikan kepercayaan saya,
bila-bila masa saja saya boleh memindahkan semula wang saya ke akaun
Tabung Haji. Tetapi bukan kali ini. Selamat tinggal Tabung Haji. Saya
tak support 'pemakan dedak'. - Mona Din | Ditulis semula untuk siaran di
THEHYPEMEDIA.COM
No comments:
Post a Comment