Bayangkan kedua mereka memang menunggu lama untuk menimang cahaya mata tapi belum sempat tahu berita gembira itu suami pergi buat selama-lamanya.
“Menghadapi kehilangan orang yang rapat dengan kita bukanlah mudah,” demikian luah balu wartawan pemotoran Sinar Harian, Allahyarham Nik Norul Hidayat Nik Mustafa yang maut dalam kemalangan Ramadan lalu.
Diselangi air mata, cerita Anis Naziha Abdul Rauf, meskipun perjalanan hidupnya tidak lagi seperti dahulu, dia harus terus kuat mengharungi hari mendatang lebih-lebih lagi dia kini sarat mengandungkan anak tunggal pasangan itu.
"Nik pergi dalam keadaan tidak tahu saya mengandung, saya sendiri pun tidak sedar yang saya mengandung sehinggalah rakan menasihati saya untuk lakukan pemeriksaan (selepas pemergian suami).
"Meskipun perit untuk menghadapi takdir, saya perlu kuat dan terus tabah untuk mengharungi hidup bersama anak yang bakal lahir pada bulan hadapan,” katanya ketika berkongsi kisahnya selepas menerima sumbangan Kumpulan Media Karangkraf kepada keluarganya.
Allahyarham Nik Norul Hidayat Nik Mustafa yang lebih mesra dipanggil Nik meninggal dunia jam 6.41 pagi di Hospital Putrajaya, setelah terbabit dalam kemalangan di Kilometer 19.6 Lebuhraya Elite.
Mengakui sedar tentang perubahan tingkah laku Allahyarham beberapa ketika sebelum meninggal dunia, Anis berkata, dia tidak pernah menyangka ia merupakan petanda Allahyarham akan pergi meninggalkannya buat selama-lamanya.
“Pada kebiasaannya, sebelum arwah ke tempat kerja, saya akan selalu berpesan kepadanya supaya dia berhati-hati. Saya tidak pernah terlupa berpesan tentang hal yang sama.
"Dan ditakdirkan ALLAH, pada hari itu (hari kemalangan) saya terlupa beri pesanan itu kepadanya,” luah Anis yang tidak dapat menyembunyikan dukanya.
Menurut wanita berusia 32 tahun ini juga, dia juga pernah bermimpi tentang kemalangan menimpa Allahyarham sebelum tragedi itu berlaku.
“Lima hari sebelum kejadian, saya ada bermimpi bahawa arwah meninggal akibat kemalangan dan terlalu ramai orang yang datang untuk melakukan solat jenazah ke atasnya.
"Pada masa itu saya anggap mimpi itu hanya mimpi biasa,” ujarnya lagi.
Anis turut terkilan kerana suaminya tidak sempat menjamah nasi beriani kambing yang dibelinya untuk berbuka puasa bersama pada Ramadan lalu.
“Dia minta saya belikan nasi beriani kambing untuk berbuka puasa sekali…tapi dia tidak sempat makan,” katanya yang tidak dapat menahan sebak.
Sumber Sinar Harian.
No comments:
Post a Comment