Wednesday 16 December 2015

Di Hukum Penjara, sebat kerana tidak pulangkan motosikal

KOTA BHARU 13 Dis. – Seorang penganggur dihukum penjara lapan bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas tidak memulangkan semula motosikal yang dipinjam kepada pemiliknya, Mac lalu.

Majistret Mohd. Firdaus Zainal Abidin menjatuhkan hukuman itu selepas Nor Azizie Che Mat, 31, mengaku bersalah apabila pertuduhan ke atasnya dibacakan.

Mengikut kertas pertuduhan, Nor Azizie didakwa telah me­nyalahgunakan motosikal yang dipinjamnya daripada Jailani Mukhtar, 55, di hadapan sebuah rumah sewa di Jalan Bayam di sini pada pukul 10 pagi, 19 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shahmeera Mustafa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Nur Shahmeera memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepadanya serta orang ramai supaya tidak mengulangi kesalahan sama pada masa hadapan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah meminjam motosikal mangsa, namun tidak menyerahkan semula motosikal terbabit.

Dia sebaliknya menghilangkan diri bersama kenderaan itu.

Mangsa membuat laporan polis dan tertuduh akhirnya berjaya ditahan.

No comments:

Post a Comment