KULIM - Seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun bersama rakannya
ditahan berikutan penyalahgunaan dadah di sebuah rumah di sini, jam 2
pagi baru-baru ini.
Dia yang hanya mahu dikenali dengan nama Ima mula terlibat dalam
penyalahgunaan dadah jenis methamphetamine ketika berusia 13 tahun.
Dari siasatan awal, Ima membuat pengakuan pernah dirogol lebih 20 remaja
lelaki dan lima daripadanya merupakan murid sekolah berusia di antara
14 hingga 17 tahun.
Mangsa turut memberikan kerjasama dengan mencatat nama suspek yang pernah merogolnya.
Ima berkata, lebih malang, ada dalam kalangan mereka yang pernah cuba meliwatnya.
“Saya berkawan dengan mat rempit. Mereka membawa saya ke sebuah rumah
dan saya dirogol beramai-ramai. Lama kelamaan perlakuan itu
berlanjutan,” katanya.
Menurutnya, kejadian terkini berlaku dua minggu lalu apabila dia dirogol
lima remaja di sebuah rumah di jalan Kilang Lama. Suspek mengugut untuk
mencederakannya sekiranya enggan melayani nafsu mereka.
“Selain rumah tinggal dan bengkel, saya pernah dirogol bergilir-gilir oleh beberapa remaja di tengah padang permainan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh
berkata, polis akan menyiasat aduan dibuat oleh mangsa dan mencadangkan
supaya mangsa dapat diletakkan di bawah penyeliaan rumah perlindungan.
“Melakukan hubungan seks dengan mana-mana remaja perempuan bawah umur
diklasifikasikan sebagai rogol walaupun mangsa merelakan perlakuan itu
dilakukan terhadap dirinya.
"Mangsa juga memaklumkan bahawa dia mengenali kesemua suspek yang
merogolnya. Dengan senarai nama suspek yang ditulis oleh mangsa sendiri
ini memudahkan polis mengesan kesemua suspek terlibat,” katanya.
No comments:
Post a Comment