Gambar hiasan sahaja |
Semalam (18 April 2016), jam 8.15 pagi, ayah saya telah pulang ke
rahmatullah. Selesai urusan di hospital, saya pulang ke rumah ibu di
kampung Rem***, Alor Gajah, Melaka. saya ingin mencari penggali kubur
dan imam di masjid bersebelahan rumah untuk urusan seterusnya.
Jenazah ayah dimandikan dan dikapankan di hospital Melaka. Jadi, pakcik
saya telah berjumpa dengan AJK Masjid Rem*** dan memberitahu hajat kami.
Tetapi, amat mengejutkan dan mengecewakan apabila mendengar jawapan AJK
masjid itu.
"Orang ini (arwah ayah) sepatutnya tidak perlu diuruskan oleh
orang kampung. Sepatutnya diboikot oleh semua orang kampung kerana tidak
pernah pergi ke masjid," katanya.
Saya amat terkejut mendengar hal ini, lalu pakcik saya menjawab,
"Arwah telah sakit selama setahun. Di rumah hanya ada isteri dan anak
perempuan arwah. Itu pun jarang berada di rumah kerana menjaga arwah di
hospital,".
Dengan muka yang sinis, dia mengangkat kaki dan beredar. Saya
memberitahu pakcik saya yang suami saya selalu pergi ke masjid bila
setiap kali kami pulang ke kampung. Dan apabila saya fikir dengan waras,
saya tidak mahu memperbesarkan hal ini dan hanya mendiamkan diri.
Apabila jenazah tiba di rumah, imam masjid Rembia sekali lagi melakukan
sesuatu yang amat memeranjatkan kami sekeluarga. Imam berkenaan tidak
mahu membaca tahlil di rumah dan berkeras untuk membawa jenazah ke
masjid untuk dibacakan tahlil. Kami hanya menuruti sahaja.
Setelah siap solat jenazah dan tahlil, jenazah dibawa ke tanah
perkuburan untuk dikebumikan. Setelah selesai pengebumian jenazah,
penggali kubur terjerit-jerit memanggil imam untuk menyelesaikan perkara
seterusnya. Penggali kubur memanggil imam lebih dari 5 kali, barulah
imam datang ke arah kubur untuk membacakan doa.
Waktu itu jam menunjukkan pukul 3.15 petang. Inilah kali pertama saya
melihat seorang imam bersikap seperti itu. Saya hanya mendoakan agar
arwah ayah selamat semua urusannya. Saya cuba melupakan apa yang
berlaku.
Di malam hari selepas solat isyak, abang, adik dan sumai pergi bersolat
di masjid dan menjemput imam untuk bacaan tahlil di rumah saya. Sekali
lagi perkara yang tidak diingini berlaku. Mereka berkelakuan seperti
tidak mahu datang ke rumah ibu saya untuk kenduri tahlil. Sehingga adik
saya terpaksa menahan motosikal mereka seperti memaksa mereka datang ke
sini.
Setelah datang pun, imam membacakan tahlil dengan laju sekali sehingga
bacaannya tidak dapat diikuti, malah tidak jelas didengar. Bukan itu
sahaja, kami sekeluarga kelihatan seperti mengemis bantuan mereka untuk
menguruskan perkara ini.
Kelakuan mereka ini amat memberikan kesan yang mendalam kepada saya dan
keluarga. Ayah saya seorang yang sangat aktif dan ramah di kampung
Rem***. Sebelum ini, ayah saya merupakan bekas PIBG sekolah, bekas
pengerusi tetap UMNO, bekas AJK Kampung Rem*** dan masjid.Ibu saya juga
merupakan salah seorang dari ahli kumpulan berzanji dan wanita UMNO di
kampung ini.
Adakah hanya kerana ayah terlantar sakit selama setahun, pihak AJK
masjid menggunakan peluang ini untuk memboikot jenazah ayah? Ataupun
mereka sudah lupa yang mereka adalah muslim yang perlu menunaikan fardhu
kifayah? Ataupun mereka merasakan mereka seperti Tuhan menghukum orang
tanpa usul periksa dan mengetahui latar belakang keluarga kami?
Entah nak datang melawat, jauh sekali. Hanya kutukan dan sindiran yang
kami sekeluarga terima. Saya akan sekeras-kerasnya membawa perkara ini
ke tengah kerana saya tidak mahu saudara-saudara saya yang berada di
Kampung Rem*** ini akan menghadapi masalah yang sama seperti saya dan
keluarga lalui semalam.
Sebelum ini tidak pernah timbul sebarang isu seperti ini. Tetapi kerana
sifat busuk hati, terlalu mengagung-agungkan politik, tamak kuasa,
syaitan, menyebabkan manusia yang bergelar ahli ulama ini dpandang hina
oleh kami dan masyarakat sekeliling. Saya meminta kerjasama dari semua
pihak untuk memandang serius terhadap perkara ini, lebih-lebih lagi
masyarakat Kampung Rem***. Hal ini saya akan laporkan kepada Pejabat
Agama Islam Melaka untuk tindakan lanjut.
Kepada yang membantu menguruskan jenazah ayah saya sepenuhnya dan
seikhlas hati, saya mengucapkan ribuan terima kasih. Assalamualaikum. -
AK | PIXEL MEDIA
No comments:
Post a Comment