Assalamualaikum. Saya berharap kisah ini memberi pengajaran kepada anda
semua yang membaca. Saya pelajar tahun akhir di UIA Gombak, telah
bernikah ketika saya tahun dua di UIA. Perkahwinan kami mendapat restu
dari kedua-dua orang tua kami dan bernikah secara sederhana sahaja.
Suami bekerja sebagai seorang guru di sekolah rendah. Oleh kerana dia
baru saja mula bekerja, pihak saya tidak meminta apa-apa hantaran, duit
hantaran tiada, barang hantaran juga tiada. Dia hanya memberi sebentuk
cincin belah rotan.
Kami bernikah di masjid dan hanya menjamu makan sanak saudara terdekat
sahaja. Perkahwinan kami biasa-biasa kerana saya benar-benar cintakan
suami dan berharap perkahwinan ini akan mendapat berkatNya.
Tetapi panas tidak selamanya panas, hubungan kami diuji. Selama kami
berkahwin, tidak pernah sekali dia memberikan nafkah kepada saya. Duit
belanja dapur mahupun sehelai pakaian pun tidak pernah diberikan.
Malahan, duit PTPTN saya digunakan untuk membeli barang dapur. Sedih,
Tuhan sahaja yang tahu. Sudahlah kahwin secara 'percuma', tanggungjawab
nafkah yang akan dipersoalkan di akhirat kelak tidak pernah dia
jalankan.
Saya pernah meminta, tetapi duit gajinya habis untuk membayar kereta.
Saya sedih, saya layan suami dengan baik, jaga kehendak nafsu dia,
melayan dia dengan baik tetapi dia langsung tidak menjalankan
tanggungjawab sebagai suami.
Sampailah satu ketika, kami bergaduh kerana saya terjumpa WhatsApp suami
dengan perempuan lain bersayang-sayang. Allah, luluh hati dan jantung
saya. Walhal ketika itu saya sedang sarat mengandung anak pertama kami.
Pertengkaran demi pertengkaran, akhirnya dia telah melafazkan cerai pada
saya.
Dunia saya menjadi gelap, saya terduduk. Suami mengaku dia sudah jatuh
cinta pada perempuan itu dan ingin berkahwin dengan perempuan itu
secepat mungkin. Barulah saya tahu ke mana duit gajinya habis selama
ini.
Air mata saya sudah kering, kepada siapa yang harus saya luahkan? Saya
begitu tertekan dari segi emosi dan perasaan. Allahuakbar, sampai hati
kau buat aku begini. Kau seksa jiwa dan perasaan aku. Kau tidak pernah
beri nafkah kepada aku dan akhirnya kau tinggalkan aku?
Ambillah iktibar dari kisah saya, mungkin ada silap atau saya kurang
berdoa kepada Allah. Nasihat saya kepada lelaki di luar sana, dunia ini
hanyalah sementara. Di akhirat sana kelak, kita akan dipersoalkan.
Jadilah suami yang budiman dan bertanggungjawab. Dunia ini seperti roda,
jika hari ini kau pernah sakitkan hati orang, suatu hari kelak Allah
akan membalas perkara yang sama. Kifarah sentiasa menanti.
Buat kaum wanita yang saya kasihi, pilihlah bakal suamimu dengan
istikharah dan jangan tersalah memilih. Tidak semestinya tiada hantaran,
tiada majlis kahwin, perkahwinan akan bahagia. Tidak semestinya orang
yang hantaran tingig, perkahwinannya tidak kekal.
Nak kahwin, suami perlu ada effort usaha tanggungjawab. Perlu tahu apa
itu nafkah, Isteri pula harus menjaga maruah dan harga diri. Mungkin
ramai ketika ini menunjuk-nunjuk di laman sosial bahawa perkahwinan
merekalah yang paling murah tiada hantaran, hanya habis beratus ringgit
sahaja. Jangan takbur sahabat. Hidup kita belum diuji lagi, perkahwinan
kamu belum diuji.
Akhir sekali, doakan saya kuat untuk menempuh hari-hari terakhir di UIA bersama bakal anak saya. Semoga berbahagia suamiku. - Sister Nurul | PIXEL MEDIA
No comments:
Post a Comment